Tuesday, 13 November 2012

MODUL PENGAJARAN PEMBELAJARAN BERTEMA BAHASA MELAYU

Modul bertema bahasa melayu

Pendidikan Prasekolah Malaysia memberi tumpuan kearah usaha untuk menyediakan peluang pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna kepada kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun. Fokus utama adalah proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan kanak-kanak, menekankan kepada inkuiri penemuan, dan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran bersepadu, bertema, belajar melalui bermain, pembelajaran konstekstual dan pembelajaran berasaskan projek. Prinsip utama yang digunakan adalah pendekatan dan kandungan pembelajaran perlu sesuai dengan peringkat perkembangan kanak-kanak dan mengambil kira perbezaan antara individu. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran ini, kanak-kanak akan memperoleh konsep dan kemahiran asas yang akan membuka minda mereka.
Pendekatan Bertema adalah pengurusan pengajaran dan pembelajaran melalui topik atau tema yang dipilih bersesuaian dengan masa, tempat, minat dan latar belakang murid. Pendekatan ini penting kerana:
1.     Tema yang dipilih dijadikan sebagai wahana untuk menggabungjalinkan pengetahuan atau kemahiran daripada komponen/ tunjang yang berlainan.
2.     Pendekatan bertema akan membantu guru merancang, mengurus aktiviti dan menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran secara lebih berfokus dan menyeluruh.
Langkah-langkah pendekatan bertema adalah seperti berikut:
1.     Memilih tema yang bersesuaian dengan pengalaman, minat dan peringkat perkembangan murid.
2.     Membina carta aliran/ web yang merangkumi objektif, konsep dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
3.     Memilih dan merancang aktiviti berdasarkan peringkat perkembangan murid dan sumber pembelajaran yang ada dipersekitaran.
4.     Membuat persediaan pengajaran dan pembelajaran termasuk menyusun kelas dan pusat pembelajaran serta menyediakan bahan.
Dua jenis web yang biasa digunakan dalam pendekatan bertema ialah web umum dan web khusus. Perbezaan antara kedua-dua jenis web ini adalah seperti berikut:
1.     Web umum menunjukkan hubungkait antara konsep, idea, sumber, kegunaan dan cirri yang berkaitan dengan tema tersebut.
2.     Web khusus menunjukkan perkaitan antara konsep, idea, aktiviti dan kemahiran tunjang dan standard pembelajaran dalam kurikulum prasekolah.
Modul Pengajaran dan Pembelajaran Bertema ini merupakan salah satu terbitan dalam Siri Buku Panduan Guru oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Tujuan utama penerbitan Siri Buku Panduan Guru adalah untuk membantu guru merancang pendekatan, strategi dan teknik yang akan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.

No comments:

Post a Comment